Latest Posts

Friday, February 5, 2010

Jaga Penjuru Masing-Masing


"Dan janganlah menjadi dari mana-mana golongan musyrik - iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderongan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak - tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu). [Ar-Rom 30:31-31]

Tiada manusia yang tulus dan murni hatinya mahukan perpecahan dan persengketaan. Sudahlah berpecah, bersengketa pula. Sungguh meletihkan semua ini. Masa dan tenaga kita banyak dihabiskan dengan perkara yang sedikitpun kita tidak dapat mengambil manfaat darinya.

Islam adalah satu agama yang sangat memberatkan soal perpaduan atau kesatuan ummah. Sebagai agama langit, Islam sangat maklum dengan fitrah dan sunnatullah. Mukaddimah kepada kehancuran dan kebinasaan adalah perpecahan.

Ramai dari kita yang tidak memahami dengan baik Fiqh Ikhtilaf sebagai satu asas dan adab di saat kita mendepani perselisihan pendapat dan pendekatan di antara sesama kita secara individu apalagi berjemaah.

Fiqh ini dipegang dengan baik ketika mana kurun terbaik umat Islam; para sahabat, tabien dan pengikutnya. Perselisihan ilmu, pendapat dan pendekatan tidak sedikitpun memberikan kesan negatif kepada mereka. Sedangkan kita jahil tentangnya. Oleh itu kita saling memusuhi sesama kita dengan sebab isu-isu yang remeh dan kadang-kadang tanpa sebab. Walhal boleh berlapang dada sebenarnya.

Seharusnya kita sebagai pendukung gerakan Islam proaktif menyelesaikan isu ini dengan baik. Sekiranya kepimpinan memandang sebelah mata hal ini, pasti yang di bawah kesannya lebih teruk dan malang sekali. Kita mesti berusaha ke arah itu.

Gerakan Islam adalah satu gerakan yang serius mengangkat panji dan risalah Islamiyyah. Ingat, ini adalah tugasan dan amanah yang paling besar atas dunia ini. Tiada yang lain. Justeru adalah rugi jika kita membuang masa kita dengan kemuncup-kemuncup waktu. Kita berhenti tanpa untung.

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai." [Ali 'Imran 3:103]

Sangat banyak ayat Al-Quran membicarakan soal kesatuan. Kalau diselak helaian-helaian hadith, sudah tentu lebih banyak dan terperinci.

Ramai dari kita sibuk dengan kondem jemaah itu tidak betul, jemaah ini tidak betul. Hanya kita sahajalah yang betul sebetul-betulnya. Tarik anggota jemaah sana, tarik anggota jemaah sini. Sampai tahap kita berbalah tentangnya.

Kita bising dengan orang yang berfikrah itu. Kita marah dengan orang yang berfikrah ini. Sungguh bodoh kalau itulah kita.

Pelik benar kita bising dengan orang yang intima' dirinya dengan jemaah. Hanya kerana ia berlainan jemaah dengan kita, maka ia disisih dan tidak dipandang.

Sepatutnya kita bising dengan orang yang menjauhkan diri dari hidup berjemaah, meninggalkan biah solehah, sahabat musleh dan liqa' ilmiah.

Sewajaranya kita bersungguh-sungguh menarik orang yang diasuh dengan pemikiran ladiniyyah, lupa amanah sebagai khalifah, berhibur melampau, bergaul bebas. Inilah sasaran kita.

Kita harus berpegang dengan pesan Rasulullah saw, bahawa Islam itu ada penjuru-penjurunya. Maka jagalah setiap penjuru-penjuru itu.

Seperti juga rumah. Paling kurang ada 2 pintu; pintu utama dan pintu belakang. Jangan lupa rumah juga ada jendela-jendelanya. Bayangkan kalau kita menjaga dengan ketat pintu utama, sedang pintu belakang dibiar tanpa berkunci. Jendela-jendela luas terbuka. Apa akan jadi?

Sudah pasti rumah kita dengan mudah dimasuki oleh perompak-perompak. Pada sangkaan kita bila pintu utama dikawal ketat maka semua menjadi selamat. Tertipulah kita berfikir begitu.

Begitu juga dengan Islam. Mengatakan bahawa kita harus menumpukan kepada aspek siasah sahaja dengan meminggirkan yang lain akan saja melemahkan kita. Jauh sekali untuk kuat. Jika hanya menumpukan aspek kemasyarakatan sahaja kita juga lemah sebenarnya.

Jelasnya kita harus menumpukan seluruh aspek kehidupan. Politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, belia dan lain-lain.

Oleh yang demikian, semua penjaga-penjaga penjuru harus faham tugas masing-masing. Jangan sekali-kali merendah-rendahkan tugasan atau penjuru orang lain. Kalau semua tuntut mereka lebih afdal. Pintu utama kata dia, pintu belakang tuntut dia, tingkap pun nak juga. Kucar-kacirlah kita.

Ingat, jangan jadi bodoh!
read more...

Sunday, January 31, 2010

Bersatu Atas Dasar Demokrasi?


"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [Al-Anfal 8:63]

Fitrah manusia sukakan keamanan dan kedamaian. Hatta orang gila sekali pun amat rimas dan lemas dengan suasana yang kacau-bilau. Ini memang satu sifat yang Allah letakkan dalam hati setiap dari kita.

Kita diajar bersatu-padu. Perpaduan teras kejayaan. Kita biasa dengar ayat ini.

Apabila kita bersatu barulah kita boleh bekerjasama. Dari kerjasama maka akan lahirnya kejayaan. Memang itu sifirnya. Masuklah mana-mana kursus pun terutamanya kursus kepimpinan. Kita diajar kerja berpasukan, bina ukhuwah, bina kekuatan, urus perbezaan, cari persamaan dan laksana perancangan pasukan.

Belek sahaja lemabaran sejarah akan menemukan kita peristiwa penting dalam membentuk kejayaan. Rasul saw sebaik sahaja berhijrah ke Madinah, baginda mempersaudarakan Ansar dan Muhajirin.

Baginda yang dididik oleh Allah swt melalui perantaraan Jibril as sangat maklum bahawa untuk melaksana dan menjayakan agenda dan risalah Islam, baginda mesti terlebih dahulu menyelesaikan asasnya iaitu kesatuan.

Satu yang harus kita faham ialah untuk nak satukan hati-hati manusia kita perlukan kepada Islam. hanya formula ini sahajalah yang mampu dan punya stamina menjayakan perpaduan itu. Ini fakta solid dan konkrit.

Untuk harapkan demokrasi menyatukan kita, itu bohong. Tidak lebih dari sekadar kosmetik. Harapkan kebangsaan satukan kita, mungkin sekejap sahaja. Hujung-hujung perpaduan itu juga mati. Mahu tak mahu semua dari kita mesti mengakui Islam sahajalah penyelesaian yang tuntas dan bernas.

Hanya bersatu atas dasar Islam kita akan dimuliakan oleh penghuni langit dan bumi. Hanya bersatu atas dasar Islam kita mampu bangun melawan kuffar yang tidak pernah tidur untuk memusnahkan Islam dan umatnya.

Demi membina perpaduan janganlah sekali-kali kita meninggalkan asas dan fitrah ini. Kalau tidak, jangan bicara soal perpaduan.
read more...

Saturday, January 23, 2010

Gerakan Mahasiswa Kerugian di 'Lembah Harapan'


"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

[Al-Asr 103: 1-3]

Setiap dari kita diajar agar memperuntukkan seluruh masa dan kehidupan dengan melakukan ubudiyyah kepada Allah Taala agar nanti tidak pula kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dicop rugi oleh Allah dan Rasul-Nya. Moga peringatan ini kekal dalam minda kita.

Kini IPT seluruh negara sedang hangat dengan pesta demokrasi, Pilihanraya Kampus (PRK). Arus perdana negara mengguna pakai sistem demokrasi bagi menentukan kepemimpinan mahasiswa. Sebilangan kecil IPT negara yang menggunakan sistem syura untuk maksud itu, antaranya KIAS di Kelantan.

Sebagai mahasiswa yang pernah menuntut di sana dan terlibat secara langsung dengan politik kampus, maka saya hanya memfokuskan penulisan ini dengan isu sekitarnya sahaja.

Sistem demokrasi mula diperkenalkan di KUIS hanya selepas 3 tahun penubuhannya. Kini usia KUIS sudah 15 tahun. Ini bermakna PRK kali ini adalah yang ke-12 diadakan.

Sedari wujudnya badan tertinggi mahasiswa sehinggalah kini, MPMKUIS tidak pernah dikuasai oleh Pro-Aspirasi. Walaupun 13 tahun KUIS di bawah kerajaan negeri yang diperintah oleh UMNO/BN, MPMKUIS terus dikuasai oleh Pro-Mahasiswa. 2 tahun di bawah kerajaan pimpinan PR, Pro-Mahasiswa tetap menguasai.

Bukan kata tiada langsung sosok peribadi yang pro-aspirasi. Tapi hanya sekerat dua. Sesi 2007/2008 dahulu ada. Begitu juga bagi sesi 2006/2007 dan beberapa tahun sebelumnya. Pro-aspirasi tiada kekuatan apalagi momentum. Mereka lumpuh.

Alhamdulillah pucuk pimpinan MPMKUIS kebanyakannya mempunyai fikrah Islam yang sahih dan jelas. Kita tetap berpegang kepada dasar kita iaitu Islam. Kita mempunyai beban prinsip kerana itu kita tidak berkomprosi dengan apa sahaja anasir-anasir keji seperti nasionalisme, sosialisme, liberalisme, pluralisme dan segala macam lagi. Cuma pendekatan bagaimana berjuang dalam gerakan mahasiswa itu sahaja yang berubah-ubah mengikut keperluan. Paksinya masih Islam. Ilmu dan kebenaran.

Mutakhir ini politik kampus di 'Lembah Harapan' itu menjadi kacau bilau. Mahasiswa menjadi lelah dan bosan dengan permainan politik. Pertimbangan politik mengatasi kepentingan mahasiswa itu bukanlah satu perkembangan yang baik.

Isunya bukan Pro-Aspirasi. Golongan bingai itu mati di KUIS. Tapi isunya ialah perbezaan pendekatan dalam mencapai matlamat yang disasarkan.

Yang di sini berhempas pulas bersilat di di dalam gelanggang memperjuangkan hak dan kepentingan mahasiswa tanpa meminggirkan adab berilmu dan pemikiran yang cerah. Pepatah pujangga berbunyi, bagai menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.

Yang di sana laungkan kebangkitan, ultra-mahasiswa. Mereka mahu memobilisasi mahasiswa dengan apa cara sekalipun asal matlamat itu bisa dicapai. Arusnya, arus revolusi. Berpatah arang, berkerat rotan.

Yang samanya ialah mereka ini menjunjung Islam sebagai dasar, punya fikrah, lahir dari tanzim haraki, pro-mahasiswa, menjual hak mahasiswa itu tiada dalam kamus perjuangan mereka. Cuma di sana adalah satu garis yang tidak bertemu. Pendekatan.

Beginilah. Sesungguhnya apa sahaja yang kita lakukan atas muka bumi ini adalah ibadah. Lambang ubudiyyah yang jelas kepada Sang Pencipta. Maka sebagai ibadah pastinya kita tidak mahu rosakkan ia dengan sifat-sifat mazmumah yang memakan mahmudah bagai api dalam sekam. Pastinya kita mahu persembahkan sesuatu yang tidak punya cacat leka kehadapan Allah swt.

Kata Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, di saat kuffar bersatu memerangi Islam, kita mencincang-lumat sesama kita.

Jujurnya kita berdepan dengan pertembungan yang merugikan bukan sahaja gerakan mahasiswa bahkan kepada gerakan Islam di kampus. Penggerak Jemaah kampus yang berbilang seperti PAS, ABIM, JIM, HALUAN, dan ISMA seharusnya meneliti realiti yang sedang kita hadapi di 'Lembah Harapan'. Bimbingan para murabbi sangat diperlukan.

Mahasiswa haraki seharusnya menghadamkan Fiqh Aulawiyyat dan Fiqh Ikhtilaf dengan sebaik-baiknya.

2010 bagi saya adalah tahun untuk kita memuhasabah kembali sejauh ini gerak usaha kita di kampus. Jangan ulang babak-babak peperangan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah kerana itu rencana musuh yang sedikitpun tidak menguntungkan kita.

Jangan cuba-cuba ingin menggantikan Biah Solehah kepada Biah Fitnah. Jangan kerana fikrah, hilang ukhuwah.

read more...

Wednesday, January 20, 2010

Budaya Ilmu Ditunjuk Jalan Keluar


"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"

[Al-Mujadalah 58: 11]


Malanglah apabila masyarakat kampus tidak ghairah dengan pembudayaan ilmu dalam kehidupan seharian mereka. Lebih malang lagi jika kepemimpinan mahasiswa juga dijangkiti virus ini.

Al-Quran dan As-Sunnah telah membicarakan soal ini dengan sekian banyak penegasan untuk menggambarkan peri pentingnya pembudayaan ilmu dalam masyakarat apalagi dunia mahasiswa. Kerana ilmulah mereka berstatus mahasiswa. Mencari ilmu dan membudayakannya juga memugar budaya itu dalam masyarakat.

Lihat sahaja hari ini berapa ramai yang sanggup berhabis wang ringgit untuk memiliki buku-buku ilmiah dan bermanfaat daripada berhabis duit untuk telefon bimbit dan kasut.

Bertahun menuntut ilmu di menara gading namun buku-buku yang dimiliki atau yang dibaca sepertinya dua tiga bulan sahaja di sana. Meneliti perkara ini pastinya satu yang pedih namun itulah yang perlu ditelan.

Saya tertarik komentar bekas Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Syed Hussein Al-Attas berkaitan masalah ini. Katanya, pada keseluruhannya mereka tidak memiliki sikap gemar membaca. Trend membaca tidak ada sedangkan banyak membaca itu penting kepada perkembangan minda.

Mahasiswa lebih ghairah menekuni komik-komik Manga, Majalah Ujang, Remaja, dan sekapal dengannya. Buku-buku ilmiah, jurnal-jurnal, kertas-kertas kerja dan segala macam isian ilmu dipandang sebelah mata.

Bila ini terjadi, bila masanya perkembangan minda nak berlaku. Semuanya menjadi beku, rigid dan kolot. Pening apabila memikirkan masyarakat kampus kontradik dengan budaya asasnya.

Kita baru sahaja bicara satu juzuk daripada budaya ilmu iaitu membaca. Kita belum bercakap soal halaqah, perbincangan-perbincangan isu semasa, ekonomi, sosiologi, kepimpinan, serangan pemikiran yang semua ini hampir tidak mendapat tempat di sisi sebahagian besar masyarakat kampus waima pimpinan mahasiswa sekalipun.

Parah bagi saya apabila terdapat mereka yang berdisiplin dengan ilmu dipinggirkan oleh mahasiswa itu sendiri. Ini nyata bertentangan dengan sifat mahasiswa iaitu mengorbit fakta dan kebenaran. Apabila hujah dan fakta dibentangkan mereka ini tidak dapat dipatahkan dengan ilmu maka dikatakan perosak dan pengadu domba.

Sungguh budaya ilmu ditunjuk jalan keluar!
read more...

Monday, January 4, 2010

Dimanakah Dr Burhanuddin Al-Helmy ke-2?


"Sesekali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan mereka"

[Al-Baqarah 2:120]


Gegak-gempita seluruh Tanah Melayu bila mana Mahkamah Tinggi memutuskan keizinan bagi akhbar mingguan, Herald - Catholic Weekly menggunapakai kalimah 'Allah'. bagi maksud Tuhan. Sensitiviti umat Islam di Malaysia diganggu-gugat sekian kalinya. Akhbar-akhbar dunia membuat satu liputan khas tentang itu apalagi akhbar Kristian.

Tiba-tiba saya terkenang sosok peribadi yang tidak asing lagi dalam sejarah Malaysia walaupun ada usaha untuk mengesampingkan beliau dalam sejarah moden negara. Orang yang saya maksudkan ialah Prof Dr. Burhanuddin Al-Helmy (gambar).

Inilah sosok yang memobilisasikan masyarakat Islam di Tanah Melayu dan Singapura menentang usaha-usaha halus yang dilakukan untuk memurtadkan Natrah. Kita sama sekali tidak boleh lupa Tragedi Natrah pada 12 Disember 1950. Tragedi yang bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan ke pangkuan ibubapanya dan bapanya diberi hak menentukan agama anutan Natrah. Satu perkara yang harus diingat tentang kes ini ialah mahkamah sendiri mengakui bahawa pengislaman Natrah adalah atas kerelaannya sendiri.

Tragedi Natrah menyaksikan 18 orang syahid dan 173 bertempur dengan polis penjajah.

Itulah semangat juang yang ada pada umat Islam. Mesej yang ingin disampaikan ialah jangan sekali-kali kalian usik Islam. Hilang tanah, mati adat, maruah bangsa dihinjak namun bila saja Islam disentuh, kalian sebenar-benar musuh.

Dr Burhanuddin keliling Tanah Melayu dan Singapura memperjelas dan membakar semangat cintakan Islam dalam hati sanubari umat Islam. Sebagai Presiden Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pada ketika itu dengan dibantu timbalannya, Prof Dr Zulkifli Muhammad usaha-usaha ini adalah keutamaan yang paling tinggi sesuai dengan dasar dan semangatnya selaku pemimpin Parti Islam. Prof Emiretus Tan Sri Dato' Dr. Ahmad Ibrahim (Bapa Perundangan Islam Malaysia) menjadi peguam Natrah dan juga tulang belakang kepada Dr. Burhanuddin.

Insan mulia inilah yang ditahan di Pulau Sikajang, Singapura dan merengkok dalam tahanan ISA oleh penjajah sehingga hujung nyawanya.

Soal saya, dimanakah Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmy ke-2? Dimanakah pimpinan Islam yang mahu bangun dengan semangat cintakan Islam memobilisasi ummah demi membela Ad-Deen suci ini?

Saya tidak minta kita merusuh tetapi selesaikan perkara ini dengan baik dan tuntas demi kelestarian Islam di bumi Malaysia. Kita tidak punya masa untuk membuang masa.

Perkembangan yang berlaku sepanjang 2009 sangat tidak mesra dengan Islam dan umatnya. Toleransi kita janganlah sampai menghakis hak dan keistimewaan Islam. Tindakan populis diambil sehingga umat Islam menggigit jari bukan satu perkara yang bijak.

Mubaligh Kristian bertepuk tangan dengan kemenangan ini. Pendakyah sudah mengatur langkah untuk memecut sedang pendakwah duduk bersandar menggoyang kaki?

Dalam Usul Fiqh ada kaedah Sad Az-Zarae' - menghalang perkara buruk sebelum berlaku - adalah kaedah yang paling sesuai dalam waqi' dan 'uruf kita di Malaysia. Itu paling praktikal untuk kita.

Akhbar-akhbar menulis bahawa Kerajaan Malaysia akan membuat rayuan tetapi soalnya di sini mengapa permohonan rayuan tidak dibuat dalam tempoh 24 jam sebagaimana kes Menteri Besar Perak? Apakah kes itu lebih utama dan tinggi nilainya mengatasi Islam? Kalau kata Jumaat, Sabtu dan Ahad mahkamah bercuti. Mengapa tidak Isnin? Bahkan kita sebenarnya mendapat lebihan masa untuk memperkemaskan hujah bagi proses rayuan itu nanti. Kita masih lewa dan lambat dalam isu besar seperti ini.

"Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung".
read more...

Sunday, January 3, 2010

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang Mencemaskan


"Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al Masih itu putera Allah." Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?"

[At-Taubah 9:30]

Tirai 2009 berlaku dengan perkembangan yang menjentik sensitiviti umat Islam di Malaysia. Khamis itu Mahakamah Tinggi membuat keputusan dengan membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh akhbar mingguan Herald; The Catholic Weekly.

Hakim Lau Been Lan memutuskan Herald mempunyai hak di sisi Perlembagaan untuk mengguna pakai kalimah tersebut. Akibat dari itu, 1 Januari 2010 menyaksikan beberapa bantahan dari kalangan masyarakat Islam yang rasa terhina terhadap keputusan mahkamah.

Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Kristian dan agama samawi yang lain mengguna kalimah "Allah" bagi merujuk kepada Tuhan. Buka sahaja Bible dalam Bahasa Arab kita akan menemuinya. Bahkan Bible Terjemahan Bahasa Indonesia/Malaysia juga sama.

Adapun begitu yang menjadi perhatian kita ialah kalimah itu disalahgunakan bagi mengelirukan umat Islam di negara ini apalagi masyarakat kita yang sangat jahil berkenaan perbandingan agama. Ini lebih menakutkan sebenarnya. Usah kata anak-anak kecil, orang dewasapun sangat mudah terkeliru.

Allah yang dimaksudkan oleh Yahudi dan Nasrani nyata sangat bertentangan dengan kebenaran.

Pimpinan masyarakat Islam tidak mengira fahaman parti mesti bersatu hati mendepani isu ini seterusnya mencari satu penyelesaian konkrit tanpa menjejaskan hubungan antara agama dan kaum. Ini bukanlah satu kerja yang mudah bagi kita.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Tepung tidak berselerak, rambut tidak putus.
read more...

Tuesday, December 22, 2009

Mencari Susah Yang Hilang


"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat"

[As-Syura 42:20]

Para sahabat Rasulullah saw sangat gusar dan gelisah jiwa mereka tatkala sudah lama tidak ditimpa dengan kesusahan, musibah atau rasa sakit. Mereka takut nikmat dunia yang fana' memalingkan pandangan dan tumpuan mereka kepada nikmat akhirat yang kekal.

Kesakitan, kesusahan dan penderitaan adalah ujian iman. Hadirnya bersama kifarah dosa, mengangkat darjat, menambah pahala dan meneguh iman. Bagi para sahabat itu tandanya Allah Taala memberikan perhatian kepada mereka.

Berada terlalu lama dalam kesenangan dan kemewahan tanpa secebis rasa susah dan perit, bisa saja membuatkan kita berasa selesa dan lupa diri. Tiada apa yang perlu dirunsingkan itulah yang sebenarnya yang perlu dirunsingkan.

Muhasabah pula diri kita. Bilakah kali terakhir kita berlapar dahaga? Bilakah kali terakhir kita merasa sakit dan ditimpa musibah yang menguji tahap keselesaan dan kesabaran ini?

Perkara ini sebenarnya yang berlegar-legar di ruang kepala. Meneliti satu persatu perjalanan hidup membuatkan aku termangu memikirkannya.

"Mencari susah yang hilang...", itulah yang bermain di fikiran.

Sebagai anak peneroka FELDA, kewangan adalah sesuatu yang terhad bagi kami. Usahkah untuk berbelanja, untuk makan minum ianya dicatu. Wang yang sedikit mesti diurusbelanja dengan cermat.

Pernah juga seminggu tidak menjamah nasi. Hanya biskut kering berlaukkan air masak. Menu ini bukanlah asing. Lemah lesu menghadirir kuliah. Tapi itulah kisahnya.

Terjun ke dalam dunia kefasilitatoran adalah antara inisiatif untuk menambah duit poket yang tidak seberapa. Upah itu digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan sebagai seorang mahasiswa yang berkelana menuntut ilmu di negeri orang.

Aku masih teringat dan akan ingat sampai bila-bila saat saya mengedarkan sakla-sakla (flyers) dari rumah ke rumah. Aku diupah oleh sebuah syarikat untuk tujuan itu. Merata cerok Bangi sakla-sakla itu aku edarkan. Upahnya tidak lumayan. Cuma 6 sen sehelai. Jika 2000 helai bermakna aku perlu menerjah peti-peti surat 2000 buah rumah. Namun nilai duit yang kecil itu sangat berharga bagi insan seperti aku atau mungkin juga sahabat di luar sana.

Kini sudah hampir 2 tahun aku meninggalkan alam perkuliahan. Sibuk dengan kerjaya dalam masa yang sama menyumbang untuk keluarga dan ummah.

Jika dahulunya makanpun bercatu, kini agaknya makan minum berlebih-lebih. Bila duit bukan lagi masalah, maka di situ bermulalah masalah.

Masalahnya ialah kita tidak merasai keperitan dan kesusahan hidup. Nikmat RM1 menjadi kecil atau mungkin saja hilang harganya.

"Rozi, aku nak minta tolong engkau edarkan flyers aku!"

Suara guru SK Seksyen 2 Bandar Baru Bangi, Cikgu Pauzi di hujung talian. Dia memiliki sebuah pusat tuisyen dan pendaftaran mula dibuka.

Sukar sebenarnya untuk aku mengatakan tidak apalagi kepada seorang guru. Itu cara aku bermuamalat dengan guru-guru sedari bangku sekolah dahulu. Namun untuk melakukan pekerjaan yang sudah lama aku tinggalkan itu jauh lebih sukar.

Dalam keadaan sekarang yang aku boleh mendapatkan lebih wang dengan cara yang tidak seperit itu menambahkan lagi rasa berat dan benar-benar menguji.

"Tak berbaloilah. 6 sen je", getus hati kecilku. Bermulalah masalah pertama, demand.

"Dah lama aku tak rasa susah. Inilah masanya untuk dapat balik perasaan tu. Bukan senang nak jadi senang!", aku mula merasionalkan amanah yang telah aku terima itu.

Ya, kali ini aku lakukan bukan kerana nilai upah. Bahkan aku sebenarnya mencari susah yang sudah hilang. Aku mahu ia bertamu agar aku ingat mana asalku.

Moga nikmat dan kesenangan dunia tidak menyilaukan mata hati untuk terus berusaha meraih laba besar di akhirat sana.

read more...

Monday, December 21, 2009

Sedetik bersama 'Alamah Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Fikrah yang mendasari hidup ini sememangnya sangat dipengaruhi oleh pandangan pemikir dan ulama muktabar masa kini, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Meneliti dan memahami hasil tulisan Al-Qaradhawi adalah antara perkara yang besar dalam membentuk fikrah aku dan dari situlah aku bergerak dalam dunia dakwah dan tarbiyyah.

Ulama pewaris para nabi, itu tegasan baginda Rasulullah saw untuk menunjukkan bahawa golongan inilah yang akan menyambung mata rantai ilmu dan dakwah Islam setelah kewafatan baginda Rasulullah saw.

Ditakdirkan untukku untuk melihat dan mendengar langsung dari diri Al-Qaradhawi yang datang ke Malaysia sebagai tetamu negara. Malaysia menganugerahkan kepadanya Tokoh Maal Hijrah 1431. Bagi aku, itu satu penghormatan yang selayaknya kerana sumbangan besar yang curahkan oleh beliau kepada umat Islam di negara ini dari pelbagai disiplin ilmu Islam. Setelah Dr. Wahbah Az-Zuhaili dikurniakan anugerah yang sama tahun lepas, aku mengharapkan agar Al-Qaradhawi juga akan dihormati begitu. Benar, 1431 Hijrah beliau benar-benar beroleh penghormatan sedemikian.

Aku berkesempatan menghadiri Muhadharah Perdana oleh Al-Qaradhawi di PICC, Putrajaya. Alangkah bertuah rasanya. Tiada kata untuk meluahkan apa yang terpendam. Al-Qaradhawi berucap panjang menerangkan tentang Fiqh Jihad. Aku tertarik pada lenggok bahasanya. Susah pada orang lain, tapi baginya itu mudah diungkap dan diperjelaskan.

Pada hari yang sama (19 Disember) selesai sahaja Solat Maghrib, aku bergegas ke Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz, Shah Alam. Al-Qaradhawi berucap. Lautan manusia di sana. Kelewatan memaksa aku meletak kereta agak jauh dari masjid. Menapak dan melangkah masuk ke dalam majlis ilmu yang padanya rahmat Allah dan lindungan sayap para malaikat-Nya.

Aku redah belaka. Mungkin inilah peluang yang satu-satunya diberikan Allah untuk aku menatap dari dekat wajah sang murabbi. Itu bukan hasrat aku sahaja, semua yang hadir juga begitu.

Selesai sahaja majlis, keadaan agak kecoh dan tidak terkawal. Hadirin berpusu dan berebut untuk mendekati sosok tubuh ulama besar dunia itu. Faktor kesihatan menghalang beliau untuk bersalaman sementelah kekalutan yang mungkin saja akan membahayakan Al-Qaradhawi.

Sang Murabbi itu melintas di hadapanku. Saat paling dekat sekali cuma 50cm jarak kami. Aku hanya melihat. Keadaan tidak mengizinkan untuk aku berjabat dan mengucup peribadi yang sangat aku kagumi itu.

Keadaan semakin kecoh dan hilang kawalan. Aku sempat menarik Tan Sri Khalid Ibrahim daripada terjerumus dalam lautan manusia. Begitu juga Dato' Dr Hasan Ali. Jika tidak mungkin saja Menteri Besar dan Exco Selangor itu jatuh dihempap hadirin yang terus berusaha merapati Al-Qaradhawi.

Aku kesal sebenarnya. Bagaimana tiada kawalan yang rapi sepanjang keberadaan 'Alamah Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sedangkan beliau adalah tetamu Kerajaan Malaysia. Tiada laluan khas, tiada pengawal khusus, tiada polis pengiring. Tak sepatutnya ini berlaku kepada seorang bertaraf ulama besar dunia.

Selesai sahaja majlis aku terus bergegas pulang.

Keberkatan ulama

Teringat ceramah Dato' Ismail Kamus 12 tahun yang lalu. Diceritakan 2 orang pemuda bersahabat baik dan rapat. Seorang sifatkan bertakwa dan sangat cintakan ulama dan seorang lagi hanya pemuda biasa yang sering kali alpa.

Di Padang Mahsyar Allah memerintahkan malaikatnya untuk menghisab dua orang pemuda ini. Pemuda yang pertama beroleh nikmat di Syurga atas amalan yang dilakukannya di dunia dahulu. Manakala sahabatnya tidak begitu. Memang Nerakalah tempat kembalinya.

Namun Allah memerintahkah malaikatnya hisab dan cari asbab untuk memasukkan pemuda malang itu ke Syurga-Nya. Puas malaikat meneliti. Jawapannya tetap sama, Neraka.

Allah Taala yang maha pemurah lagi maha penyayang memerintahkan malaikat-Nya memasukkan juga pemuda itu ke Syurga.

Terasa aneh dan pelik dengan arahan itu lalu malaikatpun bertanya, Ya Allah! mengapa diberikan Syurga kepadanya sedangkan itu bukan yang selayak baginya?

Jawab Allah swt, kerana dia cintakan sahabatnya dan sahabat itu cintakan ulama.

Subhanallah. Besarlah kelebihan dan keistimewaan ulama di sisi Allah dan Rasul. Justeru, seharusnya kita berlumba-lumba mendekati para alim ulama kerana di situ ada berkat dan rahmat Allah.
read more...

Hijrah untuk Berubah


" Orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharap rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

[Al-Baqarah 2:218]

Hijrah dalam bentuk sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw dan para sahabat 1431 tahun yang lalu sememang sudah tiada. Baginda saw secara rasminya memasyhurkan bahawa tiada lagi hijrah selepas Fathu Makkah.

Maka yang tinggal hanyalah semangat hijrah. Semangat itulah yang diguna pakai dalam bentuk islah diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada kejahatan kepada kebaikan, kejahilan kepada ketaqwaan, kezaliman kepada keadilan, kufur kepada Islam, nifaq kepada iman, gelap kepada cahaya dan begitulah seterusnya. Ringkasnya ia menuntut kepada yang lebih baik, itulah matlamatnya.

Adapun bila tahun bersilih ganti, sekian banyak manusia sibuk dengan azam baru (baca azam lama yang dibarukan, repacking). Bukan tidak boleh, bahkan digalak. Namun jangan seperti menanam tebu di bibir. Habisnya sekadar di situ. Tidak kurang, tidak lebih.

Sebut sahaja hijrah, mahu tak mahu ia terkait dengan berubah. Maka bila bicara soal berubah, ia nanti jadi payah.

Perokok yang setia dengan rokoknya, manakan mudah hendak berhenti. Pegawai yang kerjanya pegang pen, payah juga mahu menyabit rumput. Orang yang tidak biasa berkain pelekat, memang susahlah mahu bersarung solat di masjid.

Tapi bukanlah kata tidak boleh. Boleh itu boleh. Sementara nak bagi boleh ia pastinya memakan masa. Sementara memakan masa pastinya ia sedikit sukar dan liat juga. Pesan orang-orang tua, alah bisa tegal biasa. Itulah natijah.

Hasilnya pasti lumayan. Dari susah mahu berpuasa sunat, senang pula jadinya. Dari tak pernah berqiamullail, bangun juga dia sekali sekali. Dari jarang membaca Al-Quran, boleh jadi ia rajin berusaha membaca.

Justeru apapun azam kita dan mereka, kunci hijrah hanya satu. Lakukan dengan sepenuh hatimu.

Sudahkah anda berselawat ke atas baginda Rasul saw? Berselawatlah sebagai tanda syukur atas usaha baginda saw dan para sahabat kita bisa selamat atas jalan iman dan Islam.
read more...